logoYM2022_melintang.png

Air Dah Lama Surut Tapi Masalah Kerugian Masih Berlenggu

7 Jan 2022 – Taman Seri Nanding, Hulu Langat. Siapa sangka monsun Timur Laut yang dialami pada
tahun ini mengganas dengan dahsyat dan mengakibatkan banyak negeri di negara kita dilanda bah.


Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Pahang, Kedah dan Johor antara negeri yang
terjejas. Hulu Langat, Klang dan Shah Alam antara yang terjejas teruk dan antara pertama kali
dilanda banjir setelah 25 tahun penduduk disana tidak mengalaminya.


Begitu juga penduduk di negeri Pahang yang mengalami banjir buat kali kedua dalam tahun yang
sama. Banyak peralatan baru dibeli musnah dan hanyut dalam banjir berlumpur. Berat mata
memandang, berat lagi bahu memikul.


Pasukan Yayasan Maghfirah bertindak pantas meringankan beban penderitaan mangsa-mangsa
banjir dengan menghantar bantuan-bantuan awal seperti pek makanan siap masak (Maghfirah
Meal), kit kebersihan seperti berus gigi dan sabun mandi serta kelengkapan tidur.
Bantuan ini disusuli dengan bantuan pembersihan rumah pasca banjir. Skuad Kita Bantu kendalian
Yayasan Maghfirah telah berjaya mengumpulkan seramai 200 orang sukarelawan bagi melaksanakan
kerja-kerja pembersihan antaranya di Taman Seri Nanding, Hulu Langat, Taman Meru Klang dan
Seksyen 24, Shah Alam, Chenor di Pahang dan beberapa lokasi lain seperti sekolah dan masjid yang
terjejas.


Pelbagai kisah sedih yang dialami oleh mangsa banjir antaranya ada yang baru melahirkan cahaya
mata, namun semua kelengkapan bayi dihanyutkan oleh air. Terdapat juga mereka yang kehilangan
ahli keluarga yang tersayang akibat dihanyutkan arus yang deras.


Justeru itu, Yayasan Maghfirah tidak berhenti setakat bantuan pembersihan sahaja. Bantuan
seterusnya adalah membekalkan kelengkapan untuk mangsa banjir memulakan kehidupan yang
baru. Barangan elektronik seperti periuk nasi, pengisar dan seterika turut diberikan agar dapat
mengganti semula barangan elektronik mereka yang rosak akibat banjir.


Yayasan Maghfirah juga turut mengagihkan bantuan seperti kelengkapan solat, kit emosi untuk
kanak-kanak, kit kebersihan, laci plastik, bantuan kewangan sebanyak RM 200 dan bantuan-bantuan
lain. Sumbangan-sumbangan ini tidak akan berjaya tanpa sokongan dan dokongan masyarakat
Malaysia yang begitu prihatin.


Ada penyumbang yang memberikan sumbangan hasil jualan buku beliau. Ada juga sukarelawan
Skuad Kita Bantu yang mengambil cuti tanpa gaji semata-mata untuk membantu mangsa-mangsa
banjir ini. Bermula daripada membungkus barangan bantuan sehinggalah turun agihan semuanya
dilaksanakan dengan begitu bersemangat. Apa yang penting ialah senyuman mereka.

Jan 18, 2022 / Yayasan Maghfirah

Kongsikan sumbangan ini
melalui media sosial