Open Day Perkampungan Maghfirah Meriah dengan Kehadiran Hampir 200 Pengunjung

3 Januari 2026, Perkampungan Maghfirah, Lenggeng, Negeri Sembilan – Program Open Day Perkampungan Maghfirah telah berlangsung dengan penuh meriah hari ini, dirasmikan oleh Tuan Haji Shahrul Ariffin Manan, Pengerusi Eksekutif merangkap Pengerusi Ahli Pemegang Amanah Yayasan Maghfirah.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran CEO Yayasan Maghfirah, Tuan Muhammad Shuib Norudin, serta hampir 200 orang pengunjung yang membanjiri kawasan program sejak pagi.

Suasana ceria jelas terpancar pada wajah para pengunjung yang hadir bersama keluarga, rakan dan sahabat, untuk menikmati pelbagai aktiviti menarik yang telah disediakan.

Antara aktiviti utama yang mencuri perhatian adalah demonstrasi memanah dan berkuda yang dikendalikan oleh Pemimpin Syamil, seorang pengamal seni memanah tradisional Hungary, serta Saudara Uwais Al-Qarny, pemanah berkuda remaja bawah 16 tahun yang berbakat besar.

Kanak-kanak dan remaja paling teruja apabila diberi peluang menaiki kuda, mencuba memanah, serta bersuka ria bermain air di kolam yang terdapat di kawasan Perkampungan Maghfirah. Aktiviti ini bukan sahaja menghiburkan, malah memberi pengalaman unik dan bermanfaat kepada mereka.

Para pengunjung juga berpeluang menjelajah reruai-reruai jualan, mendapatkan bahan bacaan, produk Muslim, serta menjamu selera dengan pelbagai juadah yang disediakan sepanjang hari.

Maklum balas daripada pengunjung sangat positif. Ramai yang menyatakan ini adalah kali pertama mereka menjejakkan kaki ke Perkampungan Maghfirah dan tidak menyangka kawasan ini begitu tenang, damai dan mendidik jiwa. Ditambah pula dengan cuaca yang redup dan berangin, menjadikan pengalaman mereka lebih bermakna.

Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pengunjung yang sudi hadir serta rakan strategik yang turut sama menjayakan program ini.

“Alhamdulillah atas kelancaran dan sokongan semua pihak. Semoga Open Day ini menjadi jambatan kepada masyarakat untuk lebih dekat dengan Perkampungan Maghfirah iaitu Taman Ilmu Untuk Semua,” ujar salah seorang wakil penganjur.

Perkampungan Maghfirah,

Taman Ilmu Untuk Semua.

 

#PerkampunganMaghfirah  #TamanIlmuUntukSemua  #Openday

“Barangsiapa yang mempermudah urusan mereka yang kesusahan, maka Allah akan mempermudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.”
(HR Muslim)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *