Risalah Wanita Mulia Angkat Martabat Ilmu & Wanita di Perkampungan Maghfirah

21 Dis 2025 – Perkampungan Maghfirah, Lenggeng, Negeri Sembilan – Program ilmu khas buat wanita, Risalah Wanita Mulia, telah berjaya dianjurkan di Perkampungan Maghfirah, dengan penyertaan yang membanggakan daripada peserta fizikal dan juga dalam talian dari seluruh negara.

Program anjuran Perkampungan Maghfirah dan Yayasan Maghfirah ini mengetengahkan sesi tadabbur 16 daripada 40 hadis berkenaan kemuliaan wanita, berdasarkan karya ilmiah oleh Prof Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi, yang turut hadir sebagai penceramah jemputan.

Bermula seawal jam 9 pagi hingga 4 petang, para peserta dilihat aktif, tekun dan ceria sepanjang program berlangsung. Program ini bukan sahaja memberi ruang untuk mendalami ilmu, malah menjadi platform menyemai semangat ukhuwah dan cinta terhadap agama.

Menurut penganjur, program ini merupakan langkah awal dalam memperkasa ilmu buat semua golongan, khususnya wanita, sejajar dengan tagline Perkampungan Maghfirah: “Taman Ilmu Untuk Semua.”

“Syukur kepada Allah SWT atas kelancaran dan sambutan yang sangat menggalakkan. Ini satu permulaan yang memberi harapan untuk lebih banyak program seperti ini pada masa hadapan,” ujar wakil Yayasan Maghfirah.

Acara diserikan dengan sesi cabutan bertuah, di mana empat peserta menerima naskhah Al-Quran terjemahan sebagai hadiah istimewa. Program turut dimeriahkan dengan kehadiran reruai oleh Maghfirah Travel & Tours serta Pustaka Taybah, yang menawarkan pelbagai bahan bacaan dan peluang pengembaraan berasaskan ilmu.

Penganjur menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat — termasuk peserta dalam talian yang kekal bersama dari awal hingga akhir — serta keseluruhan pasukan teknikal dan sukarelawan yang memastikan segala urusan berjalan lancar.

Program Risalah Wanita Mulia membuktikan bahawa medan ilmu masih menjadi pilihan dan keperluan masyarakat hari ini, khususnya dalam mengangkat martabat wanita dalam acuan Islam sebenar.

 

#PerkampunganMaghfirah #TamanIlmuUntukSemua

“Barangsiapa yang mempermudah urusan mereka yang kesusahan, maka Allah akan mempermudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.”
(HR Muslim)

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *