Kuala Lumpur – Pada 15 hingga 17 November 2024, telah berlangsung Festival Kesenian Islam PERTIS (FKIP) yang bertempat di kompleks Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia, Kuala Lumpur.
Festival ini mengumpulkan ahli-ahli PERTIS dari seluruh Malaysia untuk bertanding dalam pelbagai acara. Acara-acara yang dipertandingkan di FKIP ini adalah Buskin Lagu Dakwah, Sketsa Muzikal, Kuiz Kesenian Islam, Nasyid Solo, dan Explorasi Puisi.
Terdapat juga program selain pertandingan/persembahan oleh ahli PERTIS di FKIP ini. Antaranya adalah pemeriksaan kesihatan, demonstrasi CPR dan pertandingan mewarna bagi kanak-kanak. Tidak lupa juga, terdapat pelbagai gerai jualan yang dibuka oleh ahli-ahli.
Hari kedua Festival Kesenian Islam PERTIS (FKIP) diserikan dengan sesi “Sembang Kanser: Apa yang kita perlu tahu” daripada Dr. Natasha Mohd Hashim, Pakar Perunding Onkologi, Hospital KPJ Johor. Sesi ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kanser serta memberikan panduan penjagaan kesihatan yang bermanfaat kepada para peserta dan pengunjung festival.
Ucapan penutup disampaikan oleh YBhg. Dato’ Haji Zamani Ahmad bin Mansor, Timbalan Pengarah Pengurusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama wakil dari YM sendiri iaitu En. Norazlin bin Mohd Salleh selaku Setiausaha Ahli Pemegang Amanah YM yang turut hadir ke festival ini.
Terima kasih bagi semua yang hadir memeriahkan Festival Kesenian Islam PERTIS pada kali ini. Tidak lupa juga tahniah kepada pihak PERTIS dan semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga program ini dapat mengeratkan ukhuwah dan memupuk semangat kesenian Islam dalam kalangan peserta serta masyarakat.