Satu peristiwa, ketika Saidatina Aisyah RA menghidangkan makanan kesukaan Rasulullah iaitu paha kambing. Rasulullah SAW bertanya: “Wahai Aisyah, apakah sudah engkau berikan kepada Abu Hurairah jiran kita? Aisyah menjawab: “Sudah wahai Rasulullah.” Kemudian Rasulullah bertanya lagi: “Bagaimana dengan Ummu Ayman?” Aisyah kembali menjawab: “Sudah wahai Rasulullah.” Kemudian Rasulullah bertanya lagi mengenai jiran tetangga yang lain, adakah sudah diberikan masakan itu sehingga Aisyah berasa penat menjawab pertanyaan Rasulullah. Sehingga Saidatina Aisyah menegaskan bahawa semua makanan sudah habis dibahagikan kepada jiran, yang berbaki hanyalah beberapa potong daging untuk dimakan oleh baginda SAW dan Aisyah. Aisyah kemudian menjawab: “Sudah habis aku berikan, wahai Rasulullah. Apa yang tinggal ialah yang ada di depan kita sekarang ini,” kata Aisyah. Mendengar jawapannya, Rasulullah SAW lantas tersenyum dan mengatakan sesuatu yang ringkas namun maksudnya mendalam. “Engkau salah Aisyah, yang habis adalah apa yang kita makan ini dan yang kekal adalah apa yang kita sedekahkan.” Riwayat at-Tirmizi Mari kita bersama-sama mengambil semangat dari bulan kelahiran nabi ini untuk benar-benar mengenali dan mencintai baginda. Jika kita boleh mengenali artis, atlet sukan dan tokoh selebriti tertentu tanpa apa-apa jaminan mereka untuk kita di akhirat nanti, maka ketahuilah bahawa Rasulullah SAW pemberi syafaat buat kita semua sebagai umatnya. Sollu A’lan Nabi!