Quran For All

Penerangan Projek
Quran For All
Pembacaan al-Quran merupakan satu ibadah yang sangat dituntut dalam Islam, tetapi bukan semua orang mampu memiliki senaskhah al-Quran.
Demi ummah, Yayasan Maghfirah berinisiatif untuk mengagihkan al-Quran secara percuma kepada golongan miskin bandar, anak-anak yatim, mangsa-mangsa bencana alam, rumah-rumah kebajikan dan perlindungan, pusat pendidikan, masjid atau surau yang memerlukan.
Melalui Kempen Quran For All, kami menyasarkan dana yang besar untuk mencetak dan mengagihkan al-Quran yang lebih banyak supaya lebih ramai orang yang dapat menerima manfaatnya.
Ramai Nak Belajar Mengaji Tapi Tak Mampu Bayar Yuran
Kita sendiri maklum tentang kehidupan kebanyakan masyarakat selepas wabak Covid-19 melanda negara. Ramai yang hilang pekerjaan, hilang punca pendapatan, hilang tempat tinggal dan hilang ahli keluarga yang selama ini menjadi harapan. Ditambah lagi dengan peningkatan kos sara hidup, pasti ramai yang terkesan dengan tekanan ini.
Untuk kelangsungan hidup, banyak keluarga perlu berjimat cermat dan mencatu perbelanjaan. Kadang-kadang, pendapatan yang mereka peroleh hanya cukup-cukup untuk keperluan asas. Bila ada anak-anak yang ingin belajar mengaji al-Quran, pastinya sukar untuk ibu bapa tunaikan.
Ditelan mati emak, diluah mati bapak! Pastinya tak ada ibu bapa yang sanggup padamkan semangat anak-anak yang ingin mendalami agama, tetapi dalam masa yang sama mereka sendiri runsing menghadapi kesempitan hidup.
Kelas Sahabat Al-Quran Satu Penyelesaian
Kelas ini merupakan sebuah program pendidikan bermodul yang memfokuskan pengajian Al-Quran dan penerapan asas kefahaman Islam dan dikendalikan oleh Yayasan Maghfirah secara percuma.
Kelas Sahabat al-Quran (SAQ) bukan sahaja menekankan pendidikan al-Quran dari sudut bacaan dan tajwid, tetapi turut menitikberatkan kefahaman mengenai isi al-Quran, praktikal fardu ain dan kefahaman Islam agar dapat dipraktikkan serta diterjemahkan kepada akhlak dan adab pelajar.
Pembelajaran yang dilaksanakan dalam kumpulan kecil memberikan kelebihan kepada guru supaya dapat menyediakan perhatian yang lebih mendalam kepada setiap pelajar yang dibimbing.
Nak tahu tak apa yang lebih menarik tentang kelas Sahabat al-Quran ni?
Bukan kanak-kanak sahaja tau yang boleh sertai pengajian al-Quran dan kelas agama ni. Golongan remaja dan orang dewasa pun berpeluang menuntut ilmu!
Tahun 2022 ini, Yayasan Maghfirah telah menyasarkan seramai 1,000 orang pelajar kelas SAQ. Jumlah perbelanjaan bagi seorang pelajar setahun: RM800, sebulan: RM66, satu sesi pembelajaran: RM9. Terkini, terdapat 25 kelas pengajian al-Quran untuk kanak-kanak, remaja dan orang dewasa, khususnya di Program Perumahan Rakyat (PPR).
8 Modul Yang Menarik:
- Tajwid
- Tafsir
- Hadith
- Akidah
- Sirah
- Ibadah
- Aktiviti palestin
- Aktiviti khas
Al-Quran Mencegah Masalah Sosial Yang Semakin Berleluasa
Selain itu, kelas SAQ juga merupakan antara inisiatif terbaik bagi mengurangkan masalah sosial masyarakat miskin di bandar. Majoriti masyarakat PPR tidak mendapat pendidikan agama yang formal atas sebab-sebab ekonomi. Hal ini menyebabkan kebanyakan anak-anak tidak tahu membaca al-Quran dan melaksanakan solat dengan betul.
Di samping itu, pendidikan agama di rumah juga jarang berlaku kerana kesibukan ibu bapa bekerja sehinggakan tidak mempunyai masa mengajar anak-anak. Dalam pada itu, ada juga dari kalangan ibu bapa yang mengakui bahawa mereka sendiri tidak mahir atau tidak tahu membaca al-Quran.
Bila tiada kelas al-Quran dengan kos bulanan yang rendah disediakan sekitar kawasan rumah, lebih sukarlah untuk anak-anak mereka mempelajari ilmu agama.
Walau bagaimanapun, kempen Quran For All dan Kelas Sahabat al-Quran (SAQ) yang dijalankan Yayasan Maghfirah sedikit sebanyak pasti dapat menyelesaikan masalah tersebut. Slogan, “Satu Rumah, Satu Al-Quran” adalah satu impian besar dalam penganjuran kempen ini.
Bila kita berjaya membudayakan pembacaan al-Quran dan mengamalkan ilmu-ilmunya dalam kehidupan masyarakat, in sha Allah sahsiah umat Islam secara keseluruhannya mampu dipupuk sehingga menjadi muslim yang sejati.
Bersedekah Sebagai Amal Jariah, Bekalan Kita Di Akhirat
Di saat kita boleh membaca al-Quran dengan selesa dan seronok, ada lagi yang memang tak mampu memiliki senaskhah al-Quran kerana kemiskinan. Ada yang mempunyai al-Quran tetapi kondisinya sangat teruk, dan ada juga yang kehilangan al-Quran sendiri akibat bencana seperti banjir.
Dalam kesenangan hidup yang Allah SWT kurniakan, apa salahnya jika kita berkongsi rezeki sebagai tanda bersyukur. Dalam rezeki kita, pasti ada rezeki orang lain, dan tangan yang memberi sememangnya lebih baik daripada tangan yang menerima.
Abdullah bin Mas’ud menyatakan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia melakukan satu kebajikan. Dan satu kebajikan itu dilipatgandakan sepuluh kali. Saya tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, melainkan Alif itu satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Sunan Tirmizi)
Bila Tuan Puan taja al-Quran dan kelas SAQ buat mereka yang memerlukan, bayangkanlah pahala yang bakal mengalir buat Tuan Puan setiap kali penerima membaca al-Quran tersebut.
Selagi ilmu yang mereka pelajari dari kelas SAQ dimanfaatkan dalam kehidupan, selagi itulah ganjaran dan kebaikan terus dikurniakan walaupun setelah Tuan Puan meninggal dunia.
Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.”
Riwayat Muslim (1631), al-Nasa’i (3651), al-Tirmizi (1376) dan Abu Daud (2880)
Ayuh jadikan penajaan al-Quran dan kelas SAQ ini sebagai amal jariah kita. Selamat beramal semua!
Senarai Pakej
sumbangan anda bermakna buat mereka.
Pakej Sumbangan adalah seperti berikut :
- Satu Nama : RM30
- Satu Naskah : RM60