logoYM2022_melintang.png

Fadilat di Bulan Ramadan

1. Bulan Ramadan, Bulan Al-Quran

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”
[Surah Al-Baqarah, 2:185]

Al-Quran, sebuah tanda kekuasaan Allah yang diturunkan sebagai panduan buat hamba-hamba-Nya di muka bumi. Diturunkan pada bulan Ramadan yang mulia, kitab ini telah menjelaskan perintah Allah, perbezaan antara benar dan salah, serta turunnya perintah berpuasa. Mukjizat Al-Quran, isinya kekal terpelihara hingga hari kiamat dan mengandungi pengajaran dari zaman lalu dan akan datang.

2. Bulan Penuh Berkat

Sabda Rasulullah SAW:
“Setiap amal yang dilakukan anak Adam adalah untuknya, dan satu kebaikan dibalas sepuluh kali lipatnya bahkan sampai tujuh ratus kali lipat. Allah Ta’ala berfirman: “Kecuali puasa, itu untuk-Ku dan Aku yang langsung membalasnya. la telah meninggalkan syahwat, makan dan minumnya kerana-Ku.” Orang yang berpuasa mendapatkan dua kesenangan,iaitu kesenangan ketika berbuka puasa dan kesenangan ketika berjumpa dengan Tuhannya. Sungguh, bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada aroma kasturi.”
[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Bulan Ramadan, setiap kebaikan akan digandakan pahalanya oleh Allah SWT. Hatta pembacaan semuka surat al-Quran memberikan pahala yang lebih berbanding di bulan-bulan lain. Apatah lagi ibadah-ibadah yang memerlukan tekad tinggi seperti qiamullail. Begitu besarnya peluang ini untuk kita kumpul pahala dengan beribadah di bulan Ramadan.

3. Malam Seribu Bulan

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) pada Malam al-Qadar, Dan adakah engkau mengetahui akan kebesaran Malam al-Qadar itu?, Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan”
[Surah Al-Qadr, 97:1-3]

“Adapun Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadhan, Baginda SAW membangunkan ahli rumahnya, mengikat kainnya (menjauhi isteri-isterinya) serta menghidupkan malam tersebut”.
 [Riwayat Ibn Hibban]

Antara kelebihan bulan Ramadan yang utama, ialah Lailatulqadar, malam seribu bulan. Kebanyakan ulama berpendapat bahawa Lailatulqadar berada pada sepuluh malam terakhir Ramadan. Beruntunglah siapa yang mengejar dan mencari malam ini kerana pahalanya diibaratkan seperti beramal seribu bulan.

4. Bulan Pengampunan Dosa

“Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kerana iman dan ketaatan kepada Allah, serta mengharapkan keredhaannya, akan diampunkan semua dosanya yang telah lepas.”
[Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Pada bulan Ramadan yang mulia ini, selain dikurniakan pahala yang berlipatganda, dosa juga diampunkan Allah. Hanya dengan berpuasa dengan penuh ketaatan pada Allah. Lebih bersungguh-sungguh kita beribadah di bulan Ramadan, semakin banyak dosa-dosa lama kita terampun dan peroleh pahala berlipatganda.

5. Bulan Mendidik Ketakwaan

“Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”.
[Surah Al-Baqarah, 2:183]

“Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau diajak bermusuhan, maka hendak ia berkata, “Sesungguhnya aku berpuasa hari ini”.”
[Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Bulan Ramadan, adalah bulan kita perbaiki dan perbaharui iman dalam diri. Ini kerana syaitan-syaitan telah diikat dan dihalang untuk menghasut ketika Ramadan. Halangan yang ada dalam diri, hanyalah nafsu untuk ditundukkan. Dengan ibadah puasa, secara tak langsung, kita belajar untuk menahan lapar, dahaga, dan sabar dari perkara yang membatalkan puasa. Inilah yang akan menjadi benteng dan membina keutuhan iman dalam bertakwa kepada Allah SWT.

Assalamualaikum,
Selamat Datang!

Kongsikan sumbangan ini
melalui media sosial